Monday 6 July 2015

[puisi] Kalau Kau Kenal Aku Siapa

Salam ukhwah tirai bicara Islami

wahai manusia yang aku kenal
aku punya satu ertikata yang sudah lama
terbungkam dalam sanubari
hati aku bagai sudah membatu
diam menyendiri tanpa seribu kata
amatlah bertahun lamanya
aku jadi begini

Kalau kau kenal aku siapa
aku hanyalah seorang lelaki biasa
aku tidak ada apa apa yang boleh menggembirakan kau
amat singkat akalku dalam menjalani pemikiran
apatah lagi kalau mahu dikirakan berapa berat timbangan amal aku pada Tuhan
aku hanya aku
lelaki yang luarnya kosong
dan dalamnya jua kosong
tiada isi

Kalau kau kenal aku siapa
aku sejak kecil
tidak pernah dibesarkan dengan kemewahan
mak dan ayahku bukan manusia berada
bukan berharta
malah hidup sentiasa berjauhan
ayah aku seorang manusia yang bekerja di jalan permusafiran
mak aku hanya seorang ibu yang mengenalkan aku kepada dunia
semenjak kecil
sehingga kini
tidak pernah ada dalam hati aku
untuk jatuh cinta dengan apa apa barangan dunia
bukan aku bermaksud bahawa aku seorang yang zuhud
tidak
malah jauh sama sekali
cuma
aku memang ada satu sifat dalam diri
bahawa aku tidak pernah
bahkan jangankan sekali
untuk meminati apa apa simbol kemewahan
jujur aku berbicara
aku tidak pernah memakai barangan yang berjenama
kau lihatlah luaranku
kau lihatlah diriku
kau lihatlah penampilanku
apa kau jelas akan siapakah aku?

Kalau kau kenal aku siapa
aku langsung tidak kenal
apa itu kereta besar
apa itu rumah besar
apa itu harta berjenama
apa itu baju mahal mahal
apa itu kasut orang kaya
apa itu fesyen kontemporari
ah
aku langsung tak kenal semua itu
sebab aku tak pernah diperkenalkan oleh mak ayah aku tentang itu
apa kau masih belum jelas siapa aku?

Kalau kau kenal aku siapa
walaupun di universiti
kawan kawan aku termasuklah kau
datang dari kalangan orang yang berharta
bila kita semua bergelak tawa
aku juga masih bergelak sama
bila kita semua bercerita itu ini
aku juga masih boleh bercerita sama
namun
apakah kau tahu
bahwa aku ini ialah seorang manusia yang pendiam
pada mata manusia
aku ini sangat bising pada bibirku
tapi kau tak tahu
malah kau tak nampak
siapa aku di depan Tuhan
kalau kau bersama kawan kau
mula bercerita tentang gajet, kemodenan, harta, kemewahan, fesyen dan sebagainya
kalau kau perasan
aku hanya mengukir senyuman tawar di bibirku
tanda aku senyum itu dengan penuh keterpaksaan
bukan aku tidak mengiyakan apa yang kau kata
tapi ketahuilah
dalam diam
aku segan sebenarnya
sebab aku sedang duduk di kalangan orang yang berharta
sebab aku tidak ada apa apa
sebab aku kosong

Kalau kau kenal aku siapa
aku sangat suka buat kerja kerja kebajikan
tidak kiralah kebajikan pada siapa pun
samada pada manusia
atau pada haiwan
atau pada tumbuhan
atau pada benda yang tidak hidup
kerna apa?
kerna aku sudah diajar dari kecil
agar sentiasa buat kebaikan walau pada sesiapa pun
aku tahu
aku bukan orang senang
jadi
sebab itulah aku berani dan mampu
untuk buat kebajikan pada makhluk makhuk Tuhan yang seperti aku
kalau kau perasan
ketika di universiti
dalam kotak motor aku
sentiasa ada makanan kucing
untuk apa?
untuk agar kalau aku ke mana mana
apabila Tuhan takdirkan bahawa di pertengahan jalan
ada kucing yang kelaparan
aku akan terus berinya sedikit makanan
pada aku
untuk apa kita punya rasa kedekut
untuk apa kita punya rasa kaya
untuk apa kita punya rasa bongkak akan harta yang kita ada
kalau kita bernafas pun guna udara yang Tuhan bagi percuma
jadi di situ
persoalannya
di manakah sebenarnya harta kita?
jawapannya
tidak ada.

Kalau kau kenal aku siapa
aku sejujurnya aku memang bukan orang kaya
tapi aku cuba untuk berkongsi dengan makhluk Tuhan yang lain
apa apa sahaja yang aku ada
kerana seringkali aku membaca beberapa tulisan hikmah
yang mengatakan bahawa
jika kita memberi apa apa yang kita ada
pada sesiapa yang lebih memerlukan
nescaya Tuhan pasti akan menggantikannya dengan apa apa yang lebih baik
aku sangat yakin dengan kata kata itu

Kalau kau kenal aku siapa
kalau kau perhatikan pakaian aku
kalau kau fahami bahasa harta aku
kalau kau bacai tulisan aku
kalau kau saksikan rutin siang dan malam aku
pasti kau akan tahu
bahawa aku
adalah lelaki
yang tiada apa apa
kosong

Kalau kau kenal aku siapa
di mata kau mungkin kau boleh definisikan
bahawa aku seorang manusia yang hebat dan gah
dengan tegasnya aku memimpin
dengan beraninya aku menerjah
dengan lantangnya aku bersuara
hakikatnya
kau tidak tahu
semua itu hanya suntikan syaitan pada mata kau
boleh jadi kau tertipu dengan penglihatan kau
kalau kau nak tahu
seperti yang aku katakan
aku ini manusia kosong
tiada apa apa yang boleh membanggakan kau
aku sebenarnya sedang cuba
untuk duduk diam
bukan mahu menjadi pasif
cuma aku
mengubah pemetaan setiap gerak perancangan yang aku jalankan
agar ianya nampak lebih berhikmah
dan sejahtera hendaknya
itu belum kira dengan apa ilmu yang aku ada
kau kena tahu
bahawa aku tiada ilmu
kau boleh bilang apa sahaja senarai ilmu yang kau mahu tanya pada aku
aku mampu jawab dengan
tiada satu ilmu pun yang aku ada
kalau ada pun
tak sampai satu perpuluhan satu peratus daripada zarah ciptaan Tuhan
itupun
belum tolak lagi dengan andai aku ada terlakukan apa apa perkara yang membunuh ilmu aku itu sendiri
ketahuilah
lelaki yang sedang bermonolog di dalam tulisan yang kau baca ini
hakikatnya manusia biasa,

Aku berbicara soal perenggan ini
bukanlah aku mahu menunjuk nunjuk
tidah sama sekali
aku cuba menafsirkan
apa yang aku amalkan
agar ianya dapat menjadi iktibar dan nasihat kepada kau
seandainya kau bacainya dengan mata hati
bukankah memberi nasihat itu salah satu perkongsian yang terbaik?
ya
sebab itu aku cuba

untuk beri harta
aku bukan manusia berharta
untuk beri ilmu
aku bukan manusia berilmu
untuk beri jasa
apalah sangat jasa aku pada dunia
aku kosong
yang mampu aku kongsi hanyalah
beberapa amal dan perbuatan yang pernah aku buat
dan sedang aku buat
agar kita sama sama dapat balasan syurga Tuhan di sana nanti

Kau
kau yang aku maksudkan
apa kau sudah bersedia untuk hidup dengan aku?
hari ini kau sudah baca tulisan jujur aku
yang mengatakan bahwa aku seorang lelaki kosong
apa kau yakin aku boleh menggembirakan kau?

Itu semua Tuhan punya cerita
aku tidak mahu bincang di hamparan ini

Semahunya lebih banyak lagi untuk aku luahkan
dalam tulisan murahan ini
namun
sempat aku berfikir
tidak perlulah untuk kongsi segalanya
sebab
aku sendiri tidak tahu
apa takdir seterusnya yang aku dapat dari Tuhan
cumanya aku
mahu menghulur maaf
andai ada salah dan silap dan bicara dan perlakuan aku
sepanjang kau mengenali aku
dari dahulu
sehingga kini

cukuplah
ada masa
ada nyawa
aku menulis lagi
semoga aku, kau dan kawan kita semua
menjadi manusia yang berguna untuk Tuhan
dan sekalian alam ciptaan-Nya.

Salam dari aku,
Seorang Lelaki Tiada Harta.

-Nur Adnin Abd Razak
Da'ie Jalanan Bumi Fana
7/7/2015 @ 2:53pm